Madius Beri Keterangan Kepada Polis

Madius menunjukkan memorandum berkaitan ciapannya di dalam Facebook dan telah diserahkan kepada pihak polis di pejabatnya hari ini.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau, menjelaskan kenyataannya di laman sosial Facebook mengenai pengislaman di Tambunan 21 Julai lalu merujuk kepada tindakan seorang individu semata-mata.

Beliau, yang memberi keterangan selama tiga jam kepada polis hari ini berhubung kenyataan yang didakwa menimbulkan kegusaran orang ramai itu, menegaskan ia bukan untuk menunjukkan rasa tidak hormat kepada agama lain.

Madius, ketika ditemui di pejabatnya, berkata kenyataan berhubung pengislaman beramai-ramai di Tambunan itu dibuat hanya sebagai peringatan kepada semua mengenai perkara yang pernah terjadi di negeri ini.

Katanya, ketika menjadi Pengerusi Kumpulan Tindakan Sosial Pelajar Katholik Sabah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kira-kira 38 tahun lalu, beliau menerima memorandum ditandatangani 2,000 individu berhubung tindakan berkenaan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.

“Memorandum ini saya serahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bagaimanapun, disebabkan perkara ini masih dalam siasatan polis, ia tidak boleh dedahkan kepada umum.

“Saya difahamkan, sebanyak 33 laporan polis dibuat berhubung kenyataan berkenaan. Oleh itu, hari ini saya menjemput pihak polis untuk mengambil keterangan dan menyerahkan dokumen berkaitan bagi menjelaskan kenyataan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Madius berkata beliau percaya pihak polis akan menjalankan siasatan dengan adil lagi profesional dan selaku Presiden Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), beliau sentiasa menyokong dan memupuk keharmonian antara kaum serta agama di negara ini.

“Malah, pada 2014, saya menubuhkan Biro Agama dan Keharmonian Kaum untuk UPKO dalam usaha mempertingkatkan tolak ansur dan saling menghormati antara agama dalam kalangan ahli,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *