Cubaan Seludup 10 Tan Metrik Barang Kawalan Ke Negara Jiran Gagal

Tong gas antara barangan yang cuba diseludup keluar di kawasan perairan Tawau semalam. Foto Ihsan Maritim Malaysia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar hampir 10 tan metrik barang kawalan melalui kawasan perairan Tawau semalam.

Dalam operasi berasingan pada 4 petang itu, sepasukan anggota bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot kargo dan bot laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Tong gas antara barangan yang cuba diseludup keluar di kawasan perairan Tawau semalam. Foto Ihsan Maritim Malaysia

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, kedua-dua bot itu dipercayai dalam perjalanan dari kawasan perairan Tanjung Batu ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot itu dikendalikan juragan tempatan dan juragan warga Indonesia dengan masing-masing membawa seorang penumpang lelaki berusia antara 23 hingga 40 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian ruangan bot kargo itu menemui barang kawalan antaranya 4.3 tan minyak masak selain 5.3 tan gula pasir dan tepung gandum (348 paket).

“Turut ditemui 61 unit tong gas petroleum cecair (LPG) yang disembunyikan di ruang kargo bot laju berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, kedua-dua juragan bersama dua penumpang kemudiannya ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa keluar semua barang kawalan itu.

Katanya, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan RM40,000 dan dibawa ke jeti Pangkalan Zon Maritim Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia akan sentiasa meningkatkan rondaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan termasuk barang kawalan ke negara jiran.

“Kita percaya, faktor permintaan yang tinggi terhadap barang kawalan terutamanya menjelang musim perayaan (hari raya haji) selain harga murah mendorong pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan mudah melalui kegiatan penyeludupan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *