Bilis Mata Biru, Keropok Ikan Masin Pilihan Sebagai ‘Ole-Ole’ Dari Sabah

Pelanggan memilih produk makanan kering yang terdapat di Pasar Ikan Masin, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Bilis mata biru dan keropok ikan masin antara produk paling popular dijadikan ‘ole-ole’ bagi pelancong yang berkunjung ke Pasar Ikan Masin, Kota Kinabalu.

Tinjauan mendapati, kawasan pasar itu tidak pernah sunyi dikunjungi pelancong luar atau dalam negeri yang datang ke Kota Kinabalu.

Bilis mata biru

Aktiviti memilih pelbagai produk makanan kering dan tawar menawar berlangsung dengan rancaknya sehingga ada pelanggan memborong dengan banyak untuk dibawa pulang sebagai ‘ole-ole’.

Menurut pekerja sebuah gerai ikan masin, Al Hafiz Abd Rahman, 25, walaupun baru enam bulan bekerja di pasar itu, dia mendapati dua jenis produk berkenaan sering menjadi pilihan pelancong terutamanya dari Semenanjung.

“Menurut pelancong, mereka menggemarinya bukan saja boleh didapati dengan harga yang murah tetapi juga bilis dan ikan masin yang mereka jual berkualiti dan segar datang dari perairan negeri ini seperti di Tawau, Pitas dan Kunak.

“Kalau di Semenanjung, harga bilis mencecah sehingga RM80 bagi setengah kilogram tetapi di sini, mereka boleh mendapatkan bilis mata biru yang berkualiti dengan harga RM60 untuk satu kilogram,” katanya ketika ditemui di pasar ikan masin itu di sini, baru-baru ini.

Katanya, walaupun terdapat gred tertentu bagi semua jenis ikan bilis dan ikan masin di pasar itu, semuanya berkualiti serta murah menyebabkan pelancong akan membawanya sebagai ‘ole-ole’ untuk keluarga.

“Pasar ini tidak pernah sunyi daripada dikunjungi oleh pelancong seolah-olah sudah menjadi lokasi persinggahan beli belah yang wajib bagi mereka.

“Jadi sebagai peniaga di sini, kami membantu mereka memilih atau mencadangkan produk yang mereka beli sesuai dimasak apa contohnya bilis mata biru sesuai dibuat kerabu yang ditambah dengan mangga.

“Rata-rata pengunjung akan teruja apabila membeli di sini kerana bukan saja diberi tips masakan yang sesuai tetapi kami memberi perkhidmatan pembungkusan percuma bagi mereka yang memborong makanan kering di premis kami,” katanya.

Menurut seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Noraini, 40-an, mereka datang berkunjung ke pasar itu kerana mahu membeli pelbagai produk makanan kering di Sabah.

“Antara pilihan saya adalah ikan bilis mata biru dan kuih cincin kerana produk ini tiada di negeri saya,” katanya yang berasal dari Terengganu.

Noraini yang menyertai rombongan percutian Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) berkata mereka sudah berada di Sabah selama beberapa hari sebelum berlepas pulang pada sebelah malam.

“Ini adalah hari terakhir kami di Kota Kinabalu dan saya bersama rombongan mengambil peluang untuk membeli sebelum penerbangan pulang pada sebelah malam nanti.

“Sabah kaya dengan pelbagai makanan laut dan sebagai ole-ole untuk dibawa pulang, saya pilih makanan kering kerana ia mudah untuk diagihkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *