Mayat Bayi Perempuan Masih Bertali Pusat Ditemui Di Tong Sampah

Mohd Haris (tengah) dan beberapa anggota polis melihat mayat bayi yang ditemukan di tong sampah di kawasan perumahan Cyber City Phase 2. – Gambar SNT/Ihsan Polis

PENAMPANG: Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam tong sampah di kawasan perumahan Cyber City Phasa 2, di sini kira-kira pukul 10.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata laporan mengenai penemuan bayi malang itu dibuat oleh seorang wanita yang menemui bayi malang tersebut yang masih bertali pusat di kawasan perumahan itu.

Mohd Haris berkata berdasarkan kenyataan saksi tersebut dia menemui bayi itu semasa sedang bertugas memeriksa tong sampah di situ bagi kerja pengasingan sampah dan melihat sebuah bakul plastik merah.

“Seawalnya saksi menyangka bakul itu mungkin berisi seekor ayam dan mula mengasingkannya ke dalam tong sampah berlainan.

“Punbegitu saksi wanita itu hairan apabila mengangkat berat bungkusan plastik itu lalu membukanya dan terkejut melihat bayi di dalamnya,” katanya.

Tanpa melengahkan masa Mohd Haris berkata saksi wanita itu memberitahu pihak pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu sebelum menghubungi polis.

Bertindak atas maklumat itu, beliau menjelaskan sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati bayi itu adalah perempuan dan disahkan tidak bernyawa oleh pegawai perubatan dan mayat bayi berkenaan dihantar ke HQE I untuk siasatan lanjut untuk mengetahui punca kematian.

Katanya kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi.

Mohd Haris berkata pihak polis menyeru kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut untuk membuat laporan di balai polis berdekatan.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *