Perpustakaan di Sabah perlu ada buku dan bahan rujukan mencukupi – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu perpustakaan di negeri ini dilengkapi dengan buku yang mencukupi dan ada bahan rujukan untuk menarik kehadiran pengunjung.

Menurut beliau ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan budaya membaca kalangan masyarakat dan menjadi sumber rujukan kepada pelajar di universiti serta penyelidik.

“Kalau Perpustakaan mempunyai buku yang baik dan ada sumber rujukan seperti Jurnal, masyarakat termasuk pelajar dan penyelidik akan mengunjunginya untuk mendapatkan bahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perpustakaan Negeri Sabah di Tanjung Aru di sini, hari ini.

Perpustakaan itu yang dibuka pada 1 April lepas dibina dengan kos RM40 juta hasil tajaan dua syarikat iaitu Sabah Development Bank Berhad dan Lahad Datu Water Supply Sdn Bhd.

Keunikan reka bentuk bangunan ini, hiasan dalaman dan ruangan moden menjadi tarikan kepada masyarakat untuk datang ke perpustakaan ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan memastikan setiap daerah ini negeri ini mempunyai bangunan perpustakaan sendiri.

Katanya pada masa ini, pembinaan bangunan baharu perpustakaan di cawangan Kinabatangan sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.

Katanya pembinaan bangunan baharu perpustakaan cawangan Kunak dan Tenom telah diluluskan dibawah Kajian Separuh Penggal  Rancangan Malaysia Kesebelas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *