Pemandu Pacuan Empat Roda Maut Selepas Bertembung Lori Di Jalan Telupid – Beluran

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

BELURAN: Pemandu kereta pacuan empat roda maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 4 Jalan Telupid – Beluran, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Ramlan Waimi, 46, beralamat di Kundasang, Ranau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara pemandu lori berumur 58 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa yang memandu kereta pacuan empat roda jenis Isuzu sedang dalam perjalanan dari Sandakan.

“Siasatan awak pihak polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa sampai di tempat kejadian telah masuk ke laluan bertentangan di selekoh di Kilometer 4 Jalan Telupid-Beluran,” katanya.

Beliau berkata kereta mangsa telah berlanggar dengan sebuah lori dari arah Telupid sebelum terbabas ke laluannya semula.

“Semasa kejadian itu berlaku, cuaca hujan dan permukaan jalan basah serta licin,” katanya.

Kasim berkata kedua-dua pemandu kenderaan itu tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil bagi tujuan kimia.

Beliau berkata kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *