‘Fisrt Time’ Edar Ganja, Polis Tahan Lelaki Tempatan Di Bundusan

Harin menunjukkan rampasan ganja semasa sidang media di IPD Penampang pada Selasa. – Foto IPD Penampan

PENAMPANG: Seorang lelaki yang mengedar ganja buat kali pertama hanya mampu berputih mata apabila kerugian RM2,500 dan turut berhadapan hukuman berat selepas ditahan dalam satu serbuan di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Bundusan kira-kira jam 11.15 pagi semasa sepasukan anggota menjalankan pemantauan serta pemerhatian di kawasan terbabit.

Rampasan ganja semasa sidang media di IPD Penampang pada Selasa. – Foto IPD Penampang

“Suspek yang memegang sebuah beg berwarna coklat itu ditahan semasa ingin memasuki sebuah premis di situ dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 205 gram,” katanya.

Menurutnya suspek warga tempatan berumur 21 tahun itu kemudiannya membawa pasukan serbuan ke rumahnya dan berjaya menunjukkan sebuah balang plastik yang disimpan di dalam biliknya.

“Sebaik diperiksa terdapat tiga paket plastik kecil mengandungi tumbuhan mampat dipercayai ganja dengan berat keseluruhan 9.42 gram.

“Berat bagi kesemua ganja yang dirampas mencecah 215.42 gram dianggarkan bernilai RM2,500 pada harga pasaran semasa,” katanya.

Haris berkata suspek yang bekerja sebagai pemungut hutang bagi ceti haram itu memperolehi bekalan ganja daripada seorang lelaki berasal dari Johor dan mereka berhubung melalui Facebook.

“Urusan jual beli dilakukan melalui aplikasi Telegram dengan harga keseluruhan ganja RM2,500 sebelum diseludup masuk ke Sabah melalui pos.

“Suspek kemudiannya memindahkan ganja itu ke dalam paket dan selebihnya dipercayai untuk dijual sebelum suspek ditahan polis,” katanya.

Menurutnya suspek yang positif ganja itu kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39(B) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *