Anak Borneo Di Semenanjung Sambut Kaamatan, Gawai

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor (tengah) bergambar bersama orang ramai pada majlis penyempurnaan Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak di Kelana Jaya, Petaling Jaya. – Foto ihsan BERSATU Sabah

Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak yang disambut di Sabah dan Sarawak selepas berakhirnya musim menuai padi, kini turut disambut anak Borneo dari dua negeri itu di Semenanjung.

Kedua-dua perayaan yang disambut oleh masyarakat pribumi itu diraikan 800 masyarakat berbilang kaum dari Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang di Kelana Jaya, di sini.

Majlis diserikan dengan pertunjukan kebudayaan etnik pribumi kedua-dua negeri seperti tarian `sumazau’, `magunatif’ serta `langgie pingadap’ dan nyanyian lagu etnik Borneo, selain hidangan makanan tradisi.

Perasmian majlis anjuran bersama Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) dan Persatuan Anak Borneo Semenanjung (PABS) bertema ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ disempurnakan Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Berucap pada majlis itu, Hajiji berkata, rakyat kedua-dua negeri di Semenanjung perlu menjaga nama baik negeri masing-masing serta menjaga sensitiviti kaum sejajar budaya ‘keharmonian dalam kepelbagaian’ diamalkan di negeri masing-masing.

Katanya, penduduk kedua-dua negeri juga ‘duta kecil’ yang berperanan mempromosi kepelbagaian budaya dan destinasi pelancongan menakjubkan di negeri asal.

“Sempena penutupan sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak 2019 (di Semenanjung), suka saya ingatkan anak-anak Borneo di perantauan ini supaya sentiasa menjaga nama baik Sabah dan Sarawak,” katanya.

Yang turut hadir, Bendahari BERSATU Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut; ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; ADUN Lumadan, Matbali Musah; Setiausaha Agung MIRA, Kannan Ramasamy; Presiden PABS, Rosalind Khamis; Pengerusi MIRA Sabah, Devendran Karpudewir dan Pengerusi sambutan, Serit Banyan.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, kedua-dua perayaan bukan saja diraikan masyarakat pribumi khususnya Kadazandusun, Murut, Rungus, Lotud, Dayak dan Iban, malah menjadi medium terbaik untuk mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ini disebabkan, katanya, kedua-dua perayaan itu menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, sekali gus menepati hasrat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat sejajar tema sambutan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.

“Rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung harus menjadikan sambutan ini sebagai peristiwa bagi mempamerkan semangat kerjasama berbilang kaum yang sekian lama berakar umbi di Borneo.

“Kita juga mahu mengecapi kemajuan berterusan dan ini boleh dicapai jika hubungan antara kaum yang sedia terjalin di negara ini dapat dipertahankan sejajar semangat sambutan Kaamatan dan Gawai. Perpaduan membolehkan kita bekerja bersama dalam satu pasukan demi negara tercinta,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *