Ada Wakil Rakyat Mahu Kembali Ke UMNO – Bung Moktar

Bung semasa berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kalabakan – Foto Hanief Ismail

TAWAU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa ada wakil rakyat bekas Umno yang melompat parti, berminat untuk kembali ke parti itu semula.

“Ada wakil rakyat yang bertanya (untuk kembali) dan ‘cakap-cakap’ (lisan) sudah ada, tetapi belum dapat dipastikan, jika sudah sampai masanya ‘adalah itu’ (nanti)”, katanya.

Bung menerima cenderahati dari Pemangku Ketua Bahagian UMNO Kalabakan Saudara Andi Muhd Suryady Bandy – Foto Hanief Ismail

Perkara itu didedahkannya semasa ditemui media sempena Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kalabakan 2019, di sini pada Sabtu, yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Bung Moktar mengaku menerima pertanyaan itu dalam perbualannya bersama wakil rakyat terlibat, namun beliau tidak mendedahkan identiti wakil rakyat dimaksudkan.

“Saya terbuka untuk menerima bekas-bekas pemimpin dan ahli Umno yang sudah keluar parti dan kalau mereka berhasrat untuk kembali kepada parti, itu tidak salah,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di salah sebuah hotel terkemuka di Tawau bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kalabakan – Foto Hanief Ismail

Namun beliau mengingatkan samaada bekas pemimpin atau ahli Umno yang keluar parti supaya mengikut prosedur pendaftaran keahlian seperti mengisi borang terlebih dahulu.

Menurutnya, trend bekas pemimpin dan ahli Umno kembali ke parti itu dikatakan berlaku kerana pentadbiran Pakatan Harapan dan Warisan tidak seperti yang mereka bayangkan.

Najib dalam ucapannya pula berkata akan membantu Umno Sabah untuk mengukuhkan semula parti terbabit di negeri ini termasuk menjalin kerjasama dengan Pas Sabah.

Ketua Umno Bahagian Kalabakan Andi Muhd Suryady Bandy pula berkata usaha perlu diteruskan untuk menambah keahlian dan memperkasakan parti itu supaya terus relevan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *