339 Individu Dari Tujuh Mukim Di Tambunan Terima Geran Tanah

Shafie menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima di Tambunan. – FOTO BERNAMA

TAMBUNAN, 20 Julai: Penantian penduduk di tujuh buah mukim di daerah Tambunan untuk memiliki tanah sendiri berakhir apabila Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan geran individu ‘Native Title’ seluas 496.7 hektar kepada 339 individu di kawasan berkenaan.

Tujuh mukim itu ialah Kirokot, Patau, Sunsuron, Toboh, Lintuhun, Nambayan, dan Monsorulung.

Berucap pada majlis penyerahan geran itu, Mohd Shafie berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan individu yang layak akan mendapat geran masing-masing.

“Apa yang kita mahu semua penerima geran ini dapat manfaatkan sebaiknya tanah berkenaan. Selepas ini kita akan ke daerah lain untuk menyampaikan geran yang sedang diproses,” katanya.

Mohd Shafie turut memberi peringatan keras kepada para penerima untuk tidak menjual tanah tersebut kerana ia adalah harta warisan keluarga, dan generasi akan datang.

Beliau berkata, rakyat perlu dibantu dengan pelbagai pendekatan, dan inilah antara usaha kerajaan dalam membantu rakyat.

“Saya tidak mahu seorang Ketua Menteri kaya raya, tapi rakyatnya miskin . Saya tidak mahu melihat rakyat hidup dalam kesusahan sehingga kadang-kadang ada yang tidak cukup makan,” katanya.

Pada majlis penyerahan geran dan majlis bersama penduduk Tambunan itu, Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan RM1 juta sebagai dana tambahan untuk membina gereja St. Theresa Tambunan dan masing-masing RM20,000 untuk dua rumah anak-anak yatim di Tambunan.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Safar Untong.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *