Tidak Mahu Dimarah, Budak Pukul Sepupu Pengsan Hingga Mati

Pembunuh Li tidak dapat dibawa ke muka pengadilan disebabkan faktor umur. Agensi

SEMATA-MATA tidak mahu dimarah apabila sepupunya pengsan selepas terjatuh ketika bermain, seorang budak lelaki berusia 12 tahun bertindak drastik memukulnya berulang kali menggunakan papan kayu sehingga mati.

South China Morning Post melaporkan, mangsa dikenali sebagai Li dilaporkan terjatuh sehingga pengsan ketika bermain di rangka gayut bersama sepupunya itu dan abangnya berusia tujuh tahun.

Kerana takut dimarahi keluarganya, budak lelaki itu memukul mangsa berulang kali di kepala menggunakan papan kayu.

Keluarga mangsa kemudian melaporkan kehilangan anaknya selepas mangsa keluar dari rumah pada Sabtu lepas bersama sepupunya dan tidak pulang selepas itu, lapor Berita Beijing.

Thepaper.cn melaporkan, pada hari berikutnya, polis menemui mayat Li dalam beg di sebuah rumah terbengkalai milik keluarga budak lelaki berkenaan.

Nenek mangsa yang melihat klip video yang dipaparkan di laman video Pear berkata, cucunya mengalami cedera teruk pada kepala dan leher.

“Polis berkata, dia mati kerana dipukul, tetapi senjata itu masih belum ditemui.”

Siasatan polis merumuskan kematian Li sebagai kes bunuh dan memutuskan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu melakukannya, tetapi dia tidak boleh dihukum menurut undang-undang disebabkan usianya masih di bawah 14 tahun.

Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *