Cabaran Laluan ‘Salt Trail Challenge 2019’ Di Banjaran Crocker 12 Oktober

Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) Cawangan Sabah, Dr Anbarasu Ramalingam (tiga dari kiri) ketia bertemu Datuk Frankie Poon di Pejabat Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Cabaran Laluan Garam atau Salt Trail Challenge 2019 akan berlangsung di kawasan Banjaran Crocker pada 12 Oktober depan.

Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) Cawangan Sabah, Dr Anbarasu Ramalingam, berkata pihaknya menyasarkan 300 peserta menjayakan cabaran kali ini.

Katanya, cabaran anjuran Mercy Malaysia Cawangan Sabah bersama Taman-Taman Sabah, Kumpulan Radio Komunikasi SSBS dan PACOS Trust itu menyediakan empat kategori meliputi Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran serta Wanita Veteran.

Setiap kategori pula membabitkan dua jarak, iaitu 16 kilometer (km) dan 25km dengan kedua-duanya bermula dari Substesen Inobong menuju ke Pogigimpaan dan Kampung Terian.

Beliau berkata, penganjuran program itu bertujuan mengutip dana bagi membiayai aktiviti amal Mercy Malaysia Cawangan Sabah, terutama dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan dan projek air bersih kepada masyarakat luar bandar.

“Sejak persatuan ini ditubuhkan 17 tahun lalu di Sabah, lebih 100 aktiviti sudah dilaksanakan dan kita komited memberi lebih banyak lagi perkhidmatan kepada penduduk di negeri ini.

“Justeru, saya menggalakkan lebih ramai peserta mengambil bahagian dalam cabaran ini, terutama pencinta alam semula jadi. Laluan terbabit akan ‘menghubungkan’ peserta dengan alam semula jadi, selain dapat melihat dan berinteraksi dengan masyarakat kampung,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah (Penguat Kuasa dan Operasi) Taman-Taman Sabah, Maipol Spait.

Laluan Garam adalah laluan di Banjaran Crocker yang digunakan sebagai jalan perhubungan masyarakat Tambunan dari Kampung Tikolod ke Kampung Inobong, Penampang, pada zaman dahulu sebelum adanya jalan raya.

Mengulas lanjut, Dr Anbarasu berkata, yuran penyertaan adalah RM200 untuk cabaran 16km dan RM300 bagi 25km, sementara tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Ogos depan.

“Kita menyasarkan kutipan kira-kira RM80,000 menerusi penganjuran kali ini berbanding RM50,000 pada tahun lalu dan sebelumnya. Kita berharap dapat mencapai sasaran itu,” katanya.

Penganjuran kali keenam itu bertema ‘Menghidupkan Semula Sejarah’ (Reliving The History) atau dalam bahasa Kadazandusun, ‘Manampasi Susuyan Do Gulu-gulu’.

Untuk keterangan lanjut atau urusan pendaftaran penyertaan, boleh hubungi pejabat MERCY Malaysia Cawangan Sabah melalui talian 088-272667 atau 019-3116182.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *