Rumah, 2 Kenderaan Musnah Dalam Kebakaran Di Kampung Tonsom

Sebuah rumah dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Tonsom, di Kota Marudu, malam tadi. – Ihsan Bomba

Sebuah rumah dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Tonsom, Kota Marudu di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.20 malam yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam sebelum mengerahkan dua jentera bersama lapan anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

Setiba di lokasi, beliau berkata, api didapati masih marak dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawalnya daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Kebakaran menyebabkan rumah terbabit dan sebuah kereta Perodua Myvi musnah hampir 100 peratus, manakala sebuah lagi lori yang diletakkan berhampiran turut mengalami kerosakan akibat terkena bahang api.

“Struktur kayu pada sebahagian besar rumah terbabit menyebabkan api merebak dengan cepat, namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan beberapa kediaman berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rony berkata, operasi pemadaman ditamatkan pada jam 11.34 malam selepas tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa terperangkap, manakala pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan berhubung punca dan kerugian dalam insiden itu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *