Mulai Esok Operasi Bas Ekspres Menuju Ke Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang & Brunei Pindah Ke Terminal KK Sentral

Terminal sementara Jalan Tugu.

Operasi perkhidmatan bas ekspres di terminal sementara Jalan Tugu akan berpindah ke bangunan Terminal KK Sentral, di sini, mulai esok.

Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lizawana Matin, berkata ia membabitkan operasi perkhidmatan bas ekspres menuju ke Beaufort, Menumbok, Sipitang, Lawas, Limbang dan Brunei.

Terminal sementara Jalan Tugu. – Foto Norasikin Daineh

“Orang ramai yang biasa menggunakan perkhidmatan bas ekspres di terminal sementara Jalan Tugu, diminta ke Terminal KK Sentral yang terletak bersebelahan Kompleks Wawasan Plaza, bermula esok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, kaunter jualan tiket bas terletak di Aras 3 Blok A bangunan itu, manakala balai pelepasan di Aras 1 Blok B.

“Antara kemudahan disediakan ialah paparan digital maklumat dan jadual perjalanan di terminal bas itu.

“Kemudahan menyimpan beg berbayar juga disediakan di Aras 3 Blok A untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Bagi mereka yang menggunakan kereta persendirian untuk menghantar penumpang ke terminal itu, kemudahan kira-kira 400 petak parkir kenderaan disediakan dengan 15 minit pertama adalah percuma.

Orang ramai dinasihatkan mengikut arahan panduan papan tanda arah di terminal bagi mengelakkan kerumitan, dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pegawai Penyelaras Operasi KK Sentral, Zarah Limat melalui talian 019-9768339.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *