Penambahan 13 Kerusi DUN Di Sabah Bukti Kerajaan PH Terbuka

KOTA KINABALU: Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa usul untuk menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Dewan Rakyat, semalam memberi gambaran jelas kerajaan hari ini lebih bersifat terbuka.

Ahli politik veteran Sabah, Datuk Lajim Ukin, berkata usul itu yang akhirnya disokong sebulat suara Ahli Parlimen turut membuktikan kerajaan pimpinan PH tidak takut atau bimbang untuk berdepan dengan rakyat ketika pilihan raya.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan komitmen PH bagi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat Sabah yang sepatutnya ditunaikan dua tahun lalu kerana tambahan 13 kerusi berkenaan sudah diluluskan DUN Sabah pada Ogos 2016.

“Kerajaan lalu tidak membawa usul 13 kerusi tambahan ke Dewan Rakyat kerana bimbang berdepan dengan rakyat ketika pilihan raya, berbeza dengan PH hari ini yang lebih bersikap terbuka dan berani melaksanakan kehendak rakyat,” katanya, di sini, hari ini.

Lajim yang juga bekas Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), berkata tambahan 13 kerusi DUN Sabah itu penting sejajar peningkatan rakyat negeri ini, selain mengambil kira kedudukannya sebagai negeri yang luas.

Katanya, dengan adanya 73 kerusi berbanding 60 kerusi sebelum ini, rakyat di setiap kawasan negeri ini dapat diwakili dengan lebih baik di DUN selain membolehkan kerajaan menyalurkan program pembangunan dengan lebih meluas.

“Selepas ini, rakyat Sabah berpeluang memilih 73 wakil rakyat yang boleh memberikan khidmat kepada mereka dan ia juga bermakna suara rakyat di DUN selepas ini akan menjadi semakin banyak.

“Lebih menarik lagi, selepas ini mereka yang berumur 18 tahun juga boleh mengundi dan sama-sama menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat berikutan langkah berani PH membawa usul menurunkan had umur pengundi yang diluluskan Parlimen kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon Ming Fung, menyifatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi 13 kerusi tambahan itu sebagai langkah yang dapat memberi keadilan kepada rakyat di Sabah.

Katanya, 60 kerusi DUN sedia ada adalah tidak adil kepada kira-kira 3.8 juta penduduk negeri ini, lebih-lebih lagi ada kawasan yang memiliki terlalu ramai pengundi.

“Kawasan yang terlalu ramai pengundi perlu dipecahkan dan tambahan kerusi juga perlu untuk memberi gambaran sebenar keluasan Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia.

“Selepas ini, kita berharap agar kerusi Parlimen di Sabah juga dapat ditambah seiring tambahan kerusi DUN,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam sidang media selepas 13 kerusi tambahan diluluskan Parlimen, berkata kelulusan berkenaan menguntungkan rakyat kerana dekat menyuarakan masalah selain memberi peluang wakil rakyat baharu menabur khidmat.

“Usul ini amat penting buat rakyat Sabah kerana mereka menuntut untuk mempunyai perwakilan mencukupi. Bukan hanya suara mereka didengari tetapi juga perkhidmatan yang amat ditunggu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata pertambahan kerusi DUN juga membolehkan pentadbiran pilihan raya di negeri ini diurus dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau pula menyifatkan tambahan kerusi DUN Sabah itu menjadi asas penting untuk Sabah lebih maju, berdaya saing, dinamik dan dikemaskini.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam maklum balasnya berkata turut menyatakan kepentingan kerusi Parlimen ditambah sejajar pertambahan kerusi DUN bagi mencapai jumlah satu pertiga seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *