Pengusaha Di Felda Sahabat Mampu Memasarkan 10 Tan Buah Naga Setahun Di Sabah

FOTO BERNAMA

LAHAD DATU, 17 Julai – Kerugian ketika mengusahakan penternakan kambing, tanaman nenas dan kelapa pandan sehingga mencecah RM70,000 tidak mematah semangat, usahawan tani anak beranak dari Felda Sahabat 2 Tungku dekat sini mencuba tanaman buah naga yang akhirnya menghasilkan pendapatan lumayan untuk keluarga

Malahan Mohd Fadly Sultan,29 dan bapanya Sultan Daruma,74, kini memasarkan 10 tan metrik buah naga ke Lahad Datu, Sandakan, Ranau dan Kota Kinabalu dengan memperoleh keuntungan purata RM50,000 setahun.

Mohd Fadly berkata mereka kini mengusahakan ladang buah naga seluas 13 hektar di mana lebih 900 kilogram buah akan dipetik untuk setiap kali pasaran seperti baru-baru ini dan menambah harga pasaran buah naga agak lumayan iaitu kira-kira RM14 satu kilogram.

Katanya idea menanam buah naga timbul sewaktu percutian keluarga ke Johor pada 2011 di mana mereka telah melawat ladang buah naga di negeri itu. 

“Sekembalinya ke Sabah bapa saya telah cuba menanam pokok buah naga  menerusi percambahan dan percubaan itu telah berjaya menghasilkan 100 batang pokok dan sejak itu kami terus mengusahakan tanaman ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata baka  buah naga yang mereka tanam  senang dijaga, jarang diserang haiwan perosak kerana ia dari  jenis yang  kuat antibodi dan hanya memerlukan pencahayaan lapan jam,  namun jika hujan, bantuan pencahayaan akan diberikan.

Mohd Fadly ?????? berkata dia dan bapanya kini merancang mengusahakan kerepek berasaskan buah naga.

Menurutnya, jika tiada halangan rancangan itu akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Sekarang ini, produk hiliran ini masih dalam peringkat percubaan dan perkembangan, kalau jadi kita akan pasarkan,” katanya.

Di bawah Syarikat Daruma Agro Farm, katanya lagi mereka turut menternak lembu di Felda Sahabat 2.

Bagi Mohd Fadly, bapanya merupakan sumber inspirasi untuk dirinya berusaha gigih untuk kehidupan lebih baik dan bijak mencari peluang.

“Saya kagum dengan semangat dan idea bapa yang banyak, bapa seorang yang rajin dan dia model terbaik kenapa saya minat untuk berbakti kepada tanah,” katanya memegang prinsip gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *