Dua Kepala Gerabak Kereta Api Jabatan Keretapi Negeri Sabah Musnah Terbakar

Dua kepala gerabak keretapi musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di bengkel milik Jabatan keretapi Negeri Sabah (JKNS), di Papar. – Gambar ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Dua kepala gerabak kereta api musnah terbakar di bengkel milik Jabatan keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, dua kepala gerabak yang terbakar dikatakan sedang dalam proses penyelenggaraan.

Pegawai Kanan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.59 malam.

Katanya, sebaik menerima laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba) dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan api kebakaran.

“Respon dilakukan Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar yang terpaksa menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer ke lokasi kejadian.

Dua kepala gerabak keretapi musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di bengkel milik Jabatan keretapi Negeri Sabah (JKNS), di Papar. – Gamar ihsan Bomba

“Setibanya di lokasi, api didapati masih marak dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke bahagian lain di bengkel milik JKNS berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Agustavia berkata, api dikawal pada jam 8.39 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya 30 minit selepas itu.

Katanya, tiada sebarang kecederaan ataupun kematian dilaporkan dan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan berhubung punca dan jumlah kerugian dalam kejadian ini.

“Kepala gerabak kereta api yang terbakar dikenal pasti jenis Rail Car 2102 yang terbakar sepenuhnya, manakala sebuah lagi kereta api jenis Hitachi hanya terbakar 30 peratus,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *