PPM Sandakan Gagalkan Cubaan Seludup 500 liter Minyak Petrol Bernilai RM16,240

Semua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya – Foto Ihsan PPM

SANDAKAN, 16 Julai – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan merampas kira-kira 500 liter minyak petrol dianggarkan bernilai RM16,240 disyaki diseleweng untuk penyeludupan di sebuah jeti tidak diwartakan di Batu 2.5 di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 ACP Mohamad Pajeri Ali berkata hasil maklumat Unit Risik Marin (URM), PPM Sandakan berjaya menahan seorang lelaki warga asing berumur 36 tahun bersama sebuah van yang sarat dengan muatan minyak petrol dalam satu operasi pukul 9 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut, didapati terdapat lebih kurang 20 tong jerikin masing-masing bersaiz 25 liter berisi minyak petrol. 

“Pemandu van ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengesahan membawa minyak daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohamad Pajeri berkata tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, yang memperuntukkan denda RM1 juta dan penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *