Menara Jam Jadi Mercu Tanda Pekan Tuaran

Menara Jam Pekan Tuaran

TUARAN, 16 Julai – Lebih 10 tahun tidak berfungsi, menara jam yang menjadi mercu tanda daerah ini, bukan saja kembali sebagai rujukan masa, malah berwajah baharu selepas Majlis Daerah Tuaran (MDT) mengambil pendekatan menaik taraf kemudahan itu.

Jam lama berstruktur konkrit berusia lebih 50 tahun itu kembali berdiri gah dan cantik di Jalan Kent Pekan Tuaran selepas hampir setahun kerja baik pulih dilaksanakan ke atas kemudahan itu, baru-baru ini.

Menara Jam Pekan Tuaran

Tinjauan Bernama mendapati menara jam bukan hanya bercat baharu, malah turut dihias dengan corak budaya etnik Dusun Lotud iaitu Linangkit dan ditambah unsur pencahayaan waktu malam.

Persekitaran menara itu juga dinaik taraf membolehkan pengunjung mempunyai akses serta aliran trafik lebih selesa ketika mengunjungi pekan Tuaran.

Sebelum ini ada hasrat merobohkan bahan bersejarah itu untuk memberi laluan pelaksanaan projek pembangunan landskap, namun mendapat bantahan penduduk yang tidak mahu Tuaran hilang mercu tanda.

Ketua Kelab Pencinta Alam Tuaran, Raymond Su, berterima kasih kepada MDT kerana membatalkan cadangan memusnahkan bahan bersejarah itu, memandangkan kemudahan itu penting sebagai daya tarikan pelawat luar ke sini.

“Keputusan MDT mengekalkan menara jam yang dibina pada 1967 itu, adalah satu kebaikan kepada Tuaran dan penduduk kerana kemudahan itu adalah mercu tanda yang tiada galang gantinya,” katanya kepada Bernama di sini.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk bersama-sama menjaga menara jam itu, memastikan kekal untuk tatapan generasi akan datang termasuk pelancong.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *