Mayat Pemandu Tersangkut Pada Ranting Pokok

Kenderaan mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian di Sungai Muaya, Sipitang.

Lelaki yang dihanyutkan bersama kenderaannya di Sungai Muaya, di sini, Sabtu lalu, ditemui mati, pagi tadi

Mayat Marthtn Padan, 64, ditemui terapung dan tersangkut pada ranting kayu oleh penduduk kampung dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira jam 9.30 pagi, kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa jatuh.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut disertai penduduk kampung di Sipitang.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan mangsa bersama kenderaannya dihanyutkan arus pada malam Sabtu lalu.

“Mangsa dikatakan mahu menyeberang jambatan Sungai Muaya Mendalung dengan menaiki pacuan empat roda. Bagaimanapun, air sungai ketika itu melimpah ke jambatan konkrit dan menyebabkan kenderaannya dibawa arus.

Kenderaan mangsa ditemukan pada jarak 100m dari jambatan ia dihanyutkan.

“Kenderaan mangsa kemudian ditemui kira-kira 200 meter dari jambatan namun tiada mangsa di dalamnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil operasi hari ini membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan cetek sungai berkenaan.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting kayu di kawasan air yang cetek,” katanya.

Terdahulu, SAR dilaksanakan oleh pelbagai pihak terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *