Kes Video Lucah Hubungan Sejenis Amat Rumit – Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Siasatan kes video lucah hubungan sejenis membabitkan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengambil masa yang agak panjang kerana perlu dilakukan secara berhati-hati.

Ini disebabkan bahan bukti dan maklumat berkaitan perlu dikumpulkan sebelum sesuatu tindakan susulan diambil, termasuk merakam percakapan beberapa individu yang dapat membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata siasatan dilakukan juga perlu telus kerana tidak mahu ada pihak menjadi mangsa atau teraniaya disebabkan maklumat yang tidak benar.

“Kes video (lucah) ini rumit kerana membabitkan ahli politik. Jadi, kita perlu berhati-hati dan tidak tergesa-gesa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bersalah dan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Malah, faktor kertas siasatan yang sebelum ini sudah dua kali dihantar kepada pejabat Peguam Negara dan dikembalikan semula kepada PDRM bersama arahan tertentu yang baharu turutm menyebabkannya mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, proses siasatan mengambil masa yang agak panjang kerana perlu diperhalusi dan dikemaskini dari semasa ke semasa susulan bukti dan maklumat baharu yang diperoleh.

“Ingin ditegaskan bahawa siasatan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana banyak perkara perlu diteliti bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diputuskan pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan dalam tempoh terdekat hasil soal siasat ke atas enam individu ditahan malam kelmarin, termasuk Haziq.

Ia berikutan dalam setiap tangkapan dilakukan, pasti ada petunjuk baharu sehingga membolehkan dalang utama di sebalik pembikinan dan penyebaran video lucah itu, yang tersebar sejak 11 Jun lalu, dikenal pasti.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *