Dua Lelaki Ditahan Cuba Seludup 2,000 Liter Petrol Ke Filipina

Minyak petrol yang cuba diseludup keluar dirampas oleh PPM di Semporna. Gambar Ihsan PPM

SEMPORNA, 15 Julai – Pasukan Polis Marin menahan dua lelaki di kawasan laut Pondohan Semporna dipercayai cuba menyeludup 2,000 liter minyak petrol menggunakan bot ke Filipina, pada Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dua lelaki berumur 17 dan 50 tahun itu ditahan pada 5.30 petang dalam Operasi Pensura Khas selepas Unit Risik Marin (URM) PPM mengesan gerak geri kedua-dua suspek.

Minyak petrol yang cuba diseludup keluar dirampas oleh PPM di Semporna. Gambar Ihsan PPM

“Sebuah perahu ditahan di kawasan laut Pondohan Semporna dan pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki juragan yang membawa muatan jerikin pelbagai saiz berisi minyak.

“Kedua-duanya dipercayai mahu bergerak ke Sitangkai, Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan kawalan bekalan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda RM1 Juta bagi orang perseorangan serta penjara tiga tahun.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *