1,000 Sertai Ijtimak’ Islam Borneo

KOTA KINABALU: Ijtimak’ Islam Borneo bakal mengumpul seribu ilmuan dan pentadbiran Islam Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam tahun hadapan.

Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) merangkap Jawatankuasa Induk Ijtimak’ Islam Borneo Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, persidangan berkenaan dianjurkan buat julung kalinya bagi berbincang mengenai perkara yang mempunyai kepentingan bersama dalam pentadbiran Islam di kedua-dua negeri.

JUHAR (tujuh dari kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Abdul Rahman (enam dari kiri).
Juhar (tujuh dari kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Abdul Rahman (enam dari kiri).

“Persidangan ini melibatkan ilmuan serta pentadbiran agama dari Sabah serta Sarawak dan kita turut menjemput rakan-rakan kita dari pihak pentadbir negara Brunei sebagai peserta jemputan.

“Kita telah mengenal pasti lapan perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan itu antaranya pentadbiran dalam pendidikan, undang-undang syariah, ekonomi umat Islam, aktiviti dakwah serta beberapa perkara lain.

“Persidangan julung kali dianjurkan ini bakal diadakan di Kuching, Sarawak sebagai tuan rumah pertama penganjuran dan insyallah, seterusnya akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

“Ia akan dianjurkan secara berterusan untuk membincangkan perkara-perkara kepentingan bersama di antara Sabah, Sarawak dan Brunei demi kepentingan umat Islam yang ada di sini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pada Isnin.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Mohd Taha berkata, Juhar memberi maklum balas yang baik berkenaan kerjasama menganjurkan persidangan itu.

“Tun Juhar memberi maklum balas yang positif dan menyokong sebarang usaha dalam menyatupadukan umat Islam di Sabah, Sarawak serta Brunei.

“Esok (Selasa), rombongan akan mengadakan kunjungan kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar untuk memberi penerangan berkenaan penganjuran persidangan ini.

“Sabah akan sentiasa menyokong penganjuran program seumpamanya kerana ia merupakan usaha bagi mengeratkan perpaduan dalam konteks keagamaan, dan insyallah kita tidak akan ketinggalan,” katanya kepada media.

Hadir sama pada kunjungan itu ialah Timbalan Yang Dipertua Muis Datuk Matussin Awang Damit, Mufti Kerajaan Negeri Sabah Sahibus Samahah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin dan Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Sarawak Awang Suhaili Ledi.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *