Tiga Penduduk Kampung Tikolod Tambunan Cedera Ditetak Warga Asing

KENINGAU, 15 Julai – Tiga lelaki cedera ditetak oleh seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia yang disyaki tidak siuman, di Kampung Tikolod Tambunan, dekat sini semalam.

Ketua Polis Keningau DSP Shahrudin Mat Husain berkata kejadian itu berlaku di kebun sawit kampung berkenaan padakira-kira pukul 11.25 pagi.

“Mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Adrian Jimit, 21, yang mengalami kecederaan di bahagian belakang dan kaki, Christopher Jimit, 27, yang mengalami kecederaan belakang dan Vallerian Yasing, 24, cedera empat jari kiri.

“Ketiga-tiga mangsa, iaitu dua daripadanya adik-beradik, telah dihantar ke Hospital Keningau dan Hospital Tambunan dan kini keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan

Shahrudin berkata suspek lelaki berusia 32 tahun itu turut dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 2 Kota Kinabalu kerana mengalami pendarahan dalaman di kepala diperayai ketika bergelut dengan orang kampung.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian kira-kira pukul 11.25 itu, suspek yang bersenjatakan sebilah parang telah datang ke kebun seorang penduduk yang tidak jauh dari kebun tempat dia bekerja untuk tujuan melakukan kekecohan.

“Ketiga-tiga mangsa yang kebetulan lalu di kebun berkenaan cuba membantu untuk memujuk suspek untuk dibawa ke balai polis, tetapi sebaliknya berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *