Suspek Curi Kabel Ditahan, Selesai 8 Kes Curi

Suspek ketika ditahan pihak polis di rumahnya.

SANDAKAN: Polis berjaya menyelesaikan lapan kes curi selepas tertangkapnya seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau di Taman Mesra Batu 4, Sandakan pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin berkata suspek berumur 34 tahun ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Sandakan, kira-kira jam 8.30 malam Sabtu.

“Suspek yang ditahan di rumahnya disyaki terbabit dengan kes curi kabel dan kedai perabot di Taman Nasalim sehari sebelum ditahan,” katanya.

Beliau berkata beberapa gelung kabel disyaki hasil kegiatan curi, telah ditemukan di rumah suspek kemudiannya dirampas oleh pihak polis.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah ditahan sebanyak dua kali kerana terlibat kes dadah,” katanya.

Beliau berkata suspek juga turut didapati positif dadah semasa ujian air kencing dijalankan terhadapnya.

“Suspek kini direman dan siasatan kes mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis percaya dengan penangkapan suspek ini telah dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes yang sama sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *