Tugu Kenang Tentera British Maut Di Sungai Tamparuli

TUARAN, 14 Julai – Selain jambatan dan pasar tamu, kewujudan sebuah tugu dipercayai berusia lebih 60 tahun dibina bersebelahan pasar sayur-sayuran di pekan Tamparuli menjadi sebahagian lagi daya tarikan kepada daerah ini.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati tugu peringatan itu kini dalam keadaan tidak terurus, walaupun kawasan lokasinya berpagar, menyebabkan pelawat terutama dari luar tidak menyedarinya kewujudannya.

Mengikut sejarah, tugu itu dibina sebagai mengenang dua tentera British yang maut di sungai berhampiran sewaktu kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover yang mereka naiki menyeberang jambatan Tamparuli pada 18 Mei 1960.

Mereka ialah prebet JWN Hall daripada Kor Kesihatan Diraja dan pemandu, DC Cooper daripada Kor Perkhidmatan Diraja yang berpangkalan di Kem Paradise, Kota Belud.

Tragedi itu berlaku sewaktu dua anggota tentera terbabit dalam perjalanan menghantar seorang wanita cedera parah dari Kampung Sayap, Kota Belud ke hospital di Jesselton.

Ketika kenderaan terbabit berada di pertengahan jambatan, arus deras sungai tiba-tiba berlaku menyebabkan kenderaan itu hanyut.

Mayat tiga mangsa nahas itu ditemukan dengan dua masih berada di dalam Land Rover yang dihanyutkan arus deras itu tiga hari kemudian dan dua anggota tentera British itu dikebumikan di perkuburan tentera Kem Paradise, Kota Belud.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *