Shafie Buka ‘Rahsia’ Bagaimana Sabah Jadi Juara

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perubahan pucuk pimpinan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) adalah rahsia utama kejayaan pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana musim ini, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi.

Katanya, ini dibuktikan menerusi komitmen tinggi ditunjukkan oleh seluruh pengurusan SAFA khususnya pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony sejak kira-kira tujuh bulan lalu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pengurusan SAFA terutamanya kepada Peter kerana berjaya menjulang trofi Liga Perdana musim ini dan berjaya ke Liga Super pada musim akan datang.

“Oleh itu saya harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim akan datang,” katanya selepas menyaksikan penyerahan trofi kejuaraan Liga Perdana, di Stadium Likas, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta beberapa barisan pimpinan Kabinet negeri.

Ditanya mengenai habuan atau ganjaran yang bakal diterima oleh pemain Sabah setelah berjaya menjuarai Liga Perdana musim ini, Mohd Shafie berkata perkara itu sudah dibincangkan, namun ia akan diputuskan kemudian.

Kali terakhir Sabah memenangi kejuaraan dalam Liga Malaysia ialah pada tahun 1996, manakala kejuaraan musim ini disahkan apabila Sabah berjaya menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, Rabu lalu. Kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di kedudukan kedua.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *