PPM Tahan Bot Nelayan Ulang Kesalahan Sama

Bot nelayan jenis tunda di tahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi ‘Ops Gelora’ di perairan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar selepas didapati melakukan kesalahan menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai. Foto Ihsan PPM.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot tunda yang baru dibebaskan beberapa hari lalu semalam, selepas dikesan melakukan kesalahan yang sama.

Operasi bermula jam 10 malam itu, bot yang dikemudi juragan sama sekali lagi didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di kedudukan berhampiran pesisir pantai.

Foto Ihsan PPM

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata bot yang ditahan semula itu adalah antara dua yang ditahan dalam satu operasi ‘Ops Gelora’ yang dijalankan di sekitar perairan daerah ini.

Katanya, ketika ditahan, awak-awak kedua-dua bot nelayan berkenaan didapati sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya pada jarak kurang daripada 3 batu nautika dari persisiran pantai.

“Lebih mendukacitakan, satu daripada bot yang kita tahan dalam operasi ini adalah bot yang pernah ditahan beberapa hari lalu.

Foto Ihsan PPM

“Bot berkenaan sudah diserah kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan dikompaun sebelum dibebaskan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, walaupun baru dibebaskan, juragan bot masih lagi berdegil dan melakukan kesalahan yang sama menjalankan aktiviti menangkap ikan berdekatan dengan persisiran pantai.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dalam operasi kali ini dianggarkan berjumlah RM60,300.

“Kita tidak akan berkompromi kerana aktiviti menangkap ikan bot nelayan jenis tunda di pesisir pantai bukan saja merbahaya kepada nelayan-nelayan kecil tetapi juga merosakkan ekosistem ikan dan batu karang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *