Polis Marin Tahan Dua Juragan Bot Tanpa Dokumen Pengenalan Diri

Polis Marin menahan dua juragan bot yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri. – Foto Ihsan PPM

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan dua pam bot serta dua juragan yang didapati melakukan kesalahan tidak melaporkan pertukaran juragan serta juragan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kedua-dua pam bot itu ditahan dalam rondaan Op Gelora Khas yang dilakukan di kawasan perairan Pulau Tiga, pada Sabtu.

Polis Marin memeriska dua juragan bot – Foto Ihsan PPM

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, semasa pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua bot berkenaan, dua juragan yang berusia 25 dan 35 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen keterangan diri yang sah.

Untuk itu, kedua-dua juragan berkenaan didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dua pam bot yang dirampas untuk siasatan lanjut. – Foto Ihsan PPM

“Pemeriksaan juga mendapati kedua-dua bot itu gagal melaporkan pertukaran juragan kepada pegawai pelabuhan dan menyalahgunakan pam bot selain dari tujuan ia dilesenkan.

“Dengan ini, kedua-dua juragan melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (M.S.O) 1960,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Kedua-dua pam bot dan peralatan yang dirampas bernilai RM8,440.

Barang rampasan dan juragan dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk tindakan dan siasatan lanjut. Pam bot kemudian diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah cawangan Menumbok untuk tindakan lanjut.

Mohamad Pajeri berkata, PPM sentiasa menjalankan rondaan di perairan dan pesisiran pantai bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara.

Katanya, kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat sangat diperlukan bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *