Lelaki Ditahan Di Kalimantan Seludup 10 Gading Gajah Dipercayai Dari Lahad Datu

SAMARINDA: Seorang warga Indonesia yang menyeludup masuk 10 gading gajah dari Lahad Datu, Sabah ke Samarinda Kalimantan ditahan, di Pelabuhan Tunontaka Nunukan, di sini pada Selasa.

Portal berita Indonesia, Tribun Kaltim.Co pada Khamis melaporkan lelaki berusia 54 tahun yang menetap di Malaysia sejak 32 tahun itu ditahan dalam operasi bersama yang dijalankan Balai Penegakan & Hukum (Gakkum) Lingkungan Hidup dan Kehutanan (LHK) Wilayah Kalimantan; Bea dan Cukai Nunukan; Polda Kalimantan Utara, Polres Nunukan dan Balai Konservasi & Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Timur.

Pada Selasa (9 Julai), lelaki berkenaan ditahan di Bea Cukai Nunukan ketika menjalani pemeriksaan kastam. Barangan dibawa suspek yang diletakkan dalam tong dram plastik biru dikenalpasti sebagai barang terlarang ketika melalui X-Ray kastam di Pelabuhan Tunontaka, Nunukan.

Ketua Balai Gakkum LHK Wilayah Kalimantan, Subhan berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tong dram berkenaan berisi 10 gading gajah yang dibawa dari Lahad Datu, Sabah, Malaysia.

Barang rampasan itu kemudian ke Pejabat Balai Gakkum Kalimantan Samarinda untuk tindakan lanjut. Gading gajah itu akan dibawa ke Samarinda untuk diteliti bagi mengenalpasti spesis gajahnya.

Suspek dibawa ke Polres Nunukan (Polis Nunukan).

Hasil pemeriksaan mendapati harga gading gajah itu bernilai RM9,400 atau Rp32 juta.

Suspek memaklumkan gading itu untuk dibawa ke Nusa Tenggara Timur (NTT) sebagai mahar pernikahan.

“Berdasarkan pengakuan suspek, gading gajah itu bukan untuk dijual tapi untuk dijadikan mahar pernikahan.

“Walaupun ia untuk keperluan adat mahupun budaya, tindakan itu masih menyalahi hukum,” katanya dalam satu Sidang Media pada Khamis.

Menurutnya, turut ditahan membantu siasatan adalah seorang ejen pelancongan berusia 40 tahun yang menguruskan barangan dibawa mangsa.

Namun, ejen berkenaan tidak terbukti terlibat dalam penyeludupan itu. Maka, ejen itu dijadikan sebagai saksi. 

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *