Tambadau Sabah Akan `Dimahkotakan’ Gelaran Juara Liga Premier 2019 Malam Ini

Sejarah akan dipahat di Stadium Likas pada 13 Julai 2019 di mana skuad Tambadau Sabah akan `dimahkotakan’ dengan gelaran Juara Liga Premier 2019.

Ianya sejarah yang membuka lembaran baru Sabah dalam kancah bola sepak negara, menamatkan penantian 23 tahun selepas kali pertama merangkul gelaran juara Liga Perdana pada 1996.

Tambadau Sabah juga akan kembali ke saingan utama bola sepak negara iaitu di Liga Super musim depan (2020).Apapun, saingan musim ini sebenarnya belum berakhir.  Cuma Tambadau Sabah telah menyelesaikan misinya lebih awal dari jadual.

Tempat ke Liga Super sudah disahkan selepas menumpaskan JDT II 1-0 di Stadium Pasir Gudang 5 Julai lalu ketika ia masih berbaki tiga perlawanan.

Tambadau Sabah kemudiannya mengesahkan gelaran juara Liga Premier 2019 menjadi mutlaknya selepas mengutip mata ke-40 dengan menumbangkan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada 9 Julai ketika ia masih ada dua baki perlawanan.

Dua baki perlawanan itu termasuk menentang Kelantan di Stadium Likas, Sabtu ini (13 Julai) dan Terengganu FC II di stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 20 Julai.

Selepas itu, Tambadau Sabah akan mengharungi cabaran terakhir lebih getir musim ini iaitu kejohanan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula awal Ogos.

Oleh itu, marilah kita teruskan sokongan padu kepada skuad Tambadau kita. Sabtu ini, sambil turut menyambut Piala Juara Liga Premier, kita iringi skuad Tambadau dengan sokongan padu melayani kunjungan Kelantan di mana ia juga aksi terakhir Tambadau sebagai tuan rumah saingan liga musim ini. Sepak mula perlawanan adalah pada jam 9.00 malam.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan akan dijual di kaunter tiket stadium Likas bermula jam 8.00 pagi pada 13 Julai.

Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony berkata, TYT Tun Juhar Mahiruddin dan isteri serta Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan isteri juga akan sama-sama menyaksikan perlawanan itu seterusnya menyampaikan Piala Juara Liga Premier kepada pasukan.

Sumber :Media SAFA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *