PPM Tahan Lelaki bawa 1,170 Liter Petrol Tanpa Permit

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang pemandu lori disyaki membawa muatan petrol dianggarkan bernilai lebih RM2,000 tanpa permit atau kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Jalan Rancha-Rancha, Labuan. – Foto ihsan PPM

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang pemandu lori disyaki membawa muatan petrol dianggarkan bernilai lebih RM2,000 tanpa permit atau kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Jalan Rancha-Rancha, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi, lelaki berusia 46 tahun itu didapati membawa muatan 48 tong jerikin berisi 1,170 liter petrol yang diletakkan di bahagian belakang lori dipandunya.

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang pemandu lori disyaki membawa muatan petrol dianggarkan bernilai lebih RM2,000 tanpa permit atau kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Jalan Rancha-Rancha, Labuan. – Foto ihsan PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata tangkapan dan rampasan dibuat ketika anggotanya menjalankan Op Landai Khas di kawasan berkenaan.

“Sebuah lori jenis Toyota berwarna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan di laluan terbabit sebelum hasil pemeriksaan menemui 48 tong jerikin berisi 1,170 liter petrol dianggarkan bernilai RM2,433.60.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori itu gagal menunjukkan permit atau kelulusan dikeluarkan KPDNHEP.

“Petrol berkenaan dipercayai diperoleh dari stesen minyak di Labuan untuk tujuan pasaran dan dijual semula tanpa sebarang permit,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, rampasan itu kemudian dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Labuan atas kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kes diserahkan kepada KPDNHEP Labuan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berharap masyarakat setempat terus bekerjasama memberikan maklumat kepada PPM, dan pihaknya sentiasa bersedia menggerakkan aset bersama pegawai dalam pelbagai operasi di perairan negeri ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *