Polis Sandakan Dekatkan Diri Dengan Pelajar Menerusi Program Sahabat Polis

Foto Bernama

SANDAKAN – Susulan operasi cegah ponteng sekolah yang dilaksanakan bersama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan minggu lepas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini mengambil inisiatif untuk melaksanakan Program Sahabat Polis, khusus bagi mendekatkan warga polis dengan pelajar-pelajar sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin berkata selain boleh merapatkan hubungan antara polis dan pelajar sekolah, program itu juga dilihat dapat meningkatkan tahap disiplin dalam kalangan pelajar, sekaligus membendung penglibatan mereka dalam gejala sosial.

“Dewasa ini ada juga remaja kita, terutama pelajar terlibat dalam jenayah termasuk pecah rumah. Jadi, pihak polis Sandakan adakan inisiatif ini untuk menjadikan pelajar sebagai sahabat kita supaya mereka boleh dibimbing, di samping mereka juga boleh menjadi mata dan telinga pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt.

Mohd Azhar berkata sepanjang tahun lepas, di daerah Sandakan, lima pelajar sekolah menengah ditahan bagi kes rogol dan tiga, termasuk dua pelajar sekolah rendah, ditahan bagi kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, manakala dua pelajar sekolah menengah ditahan bagi kes pecah rumah dan 29 pelajar sekolah menengah ditahan kerana merusuh.

Bagi tahun ini pula sehingga Jun, beliau berkata 10 pelajar lelaki sekolah menengah ditahan kerana merusuh, dan menurutnya semua pelajar itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *