Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Duta Besar Uzbekistan

Ketua Menteri Sabah bersama Duta Besar Uzbekistan, Ravshan Usmanov (kiri) – Foto Bernama

KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov yang bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

Diiringi delegasinya, Ravshan disambut Mohd Shafie di pejabat beliau pada 4.00 petang dan pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohd Shafie berkata, selain untuk mengeratkan lagi hubungan sedia ada, perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu adalah beberapa bentuk kerjasama yang  boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.

“Contohnya, kita berbincang mengenai sektor pelancongan kerana Sabah mempunyai banyak tempat yang menarik. Kita juga bercakap mengenai produk pembuatan seperti kraftangan kerana kita tahu masyarakat Uzbekistan mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan dan kita boleh belajar daripada mereka,” katanya.

Mohd Shafie berkata, pada perjumpaan itu beliau juga menjelaskan mengenai pelbagai peluang pelaburan berpotensi yang ada di Sabah.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *