Tiada Tiket Percuma – SAFA

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menafikan akan memberikan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan Liga Perdana antara Sabah dengan Kelantan di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung SAFA, Andrew Majanggim berkata ia adalah maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan dijual dengan harga seperti biasa iaitu RM25 bagi tempat duduk di kawasan berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk kawasan terbuka. Tiket akan dijual di kaunter tiket Stadium Likas bermula jam 8 pagi esok,” katanya.

Dalam kenyataan yang tular di media sosial itu hari ini, kononnya tiket percuma akan diberikan bagi menyaksikan perlawanan antara Sabah dan Kelantan sempena meraikan kejuaraan skuad Tambadau dalam saingan Liga Perdana.

Sementara itu, Andrew berkata penyampaian trofi kejuaraan Liga Perdana kepada pasukan Sabah akan diadakan selepas perlawanan berkenaan yang akan bermula pada jam 9 malam.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan dan sekali gus menyempurnakan penyampaian piala berkenaan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *