Bukan 60 Hektar, Hanya 3 Hektar Tanah Rezab Diceroboh – Jo Anna

Jo-Anna diberi penerangan tentang sempadan projek dan tanah simpanan balak Telibong.

TUARAN: Hanya tiga hektar tanah rizab dalam enam perkampungan di daerah ini terjejas oleh kerja menoreh bukit yang dijalankan sebuah syarikat swasta di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri di Kementerian Kewangan Jo-Anna Sue Henley Rampas menafikan dakwaan bahawa berlaku pencerobohan seluas 60 hektar tanah rizab dalam aktiviti berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini dan kerja-kerja tanah telah dihentikan serta-merta sejak 4 Julai lepas.

Jo-Anna (kiri) bertemu penduduk kawasan tersebut untuk mendapatkan maklumat dan berbicang berkenaan perkara tersebut.

“Pemeriksaan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) mendapati syarikat terbabit menceroboh tiga hektar tanah simpanan Balak Bumiputera Telibong itu yang bersempadanan dengan tanah milik syarikat firma berkenaan.

“Pengarah JTU Sabah, Datuk Safar Untong juga mengesahkan bahawa pejabat beliau telah mengarahkan syarikat itu untuk menghentikan kerja tanah ini dengan serta-merta.

“Saya akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak JTU untuk mencari penyelesaian terhadap isu ini yang membimbangkan penduduk di enam perkampungan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek tersebut yang turut dihadiri Pegawai Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Tuaran, Michael Donnie Akang, pasukan pemeriksaan JTU serta enam Ketua Kampung, Kampung Bukit Giling, Kauluan, Tambulaong, Tambalugu, Bakut serta Dansangai, hari ini.

Sekitar kawasan bukit yang diceroboh. Gambar SNT/Alfred Petrus

Pada 4 Julai lalu, beberapa akhbar melaporkan lebih 60 hektar tanah rizab itu dicerobohi oleh syarikat terlibat yang mengambil tanah kawasan berkenaan untuk menimbus tapak perkuburan berhampiran sejak dua tahun lepas.

Ketua Kampung Bukit Giling, Siani Lipat, 58, berkata operasi tersebut menyumbang kepada hakisan tanah dan merosakkan kawasan tadahan air graviti penduduk.

Justeru, hari ini (Rabu), Jo-Anna hadir bertemu penduduk kampung yang mahukan tanah di kawasan tersebut dan sekitarnya diwartakan sebagai kampung.

“Hasil pertemuan saya dengan beberapa Ketua Kampung, mereka turut memohon untuk proses pewartaan kampung untuk enam buah kampung bagi mengelakkan hak penduduk di kawasan itu terjejas pada masa akan datang.

“Mereka telahpun membuat permohonan pewartaan kawasan tersebut sebagai kampung mereka sejak 30 tahun lepas.

Siani berkata mereka gembira apabila kerja-kerja tanah dihentikan oleh syarikat berkenaan.

“Selepas ini, saya sendiri akan membawa permohonan mereka kepada Jabatan Tanah dan Ukur demi memastikan kebajikan penduduk di situ terjaga dan masalah penduduk kampung itu dapat diselesaikan,” katanya.

“Tetapi, selepas ini jika kami dapati syarikat itu menceroboh semula tanah rizab di kampung kami dan kawasan sekitar, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak.

“Penduduk juga mahu tanah rizab yang sudah diratakan supaya ditanam semula dengan pokok supaya tidak berlaku lagi hakisan tanah pada masa akan datang,” katanya.

Kira-kira 1,500 penduduk tinggal di enam perkampungan terbabit, dengan sebahagian besarnya adalah petani.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *