Selamat Ulang Tahun Kelahiran Ke-94 Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang genap usianya 94 tahun, hari ini, menerima ucapan selamat ulang tahun kelahiran daripada saf kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ucapan selamat menerusi satu klip video dimuat naik di laman Facebook PH itu dimulai dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mendoakan supaya Dr Mahathir diberikan kesihatan dan kesempatan untuk terus berkhidmat kepada negara.

“Sempena sambutan hari ulang tahun Tun Dr Mahathir ke-94, kami mendoakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan diberikan kesihatan dan diberikan kesempatan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mendoakan semoga Dr Mahathir sihat dan boleh menerajui negara.

“Saya nak ucapkan selamat hari jadi, happy birthday to you sir. Mudah-mudahan masih sihat, masih boleh menerajui negara. Maka saya ambil kesempatan ini mendoakan agar Tun terus berada dalam keadaan sihat, cerdas, cergas dalam memimpin negara.

“Mudah-mudahan segala apa yang rakyat Malaysia harapkan ke hadapan, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, makmur dan sejahtera akan terus dapat dilaksanakan di bawah kepimpinan YAB Tun,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyampaikan ucapan: ‘Tun, selamat menyambut hari jadi ke-94, semoga Tun boleh terus sihat dan juga harap Tuhan akan lanjutkan usia lagi.’

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata: ‘Tun, usia Tun akan mencapai 94 tahun hari ini, saya mengucapkan selamat hari jadi, semoga Allah memelihara kesihatan Tun, terus sihat dan terus mencurahkan bakti kepada negara dan membimbing kami dalam pemerintahan supaya dapat kita berkhidmat yang sebaik mungkin kepada rakyat jelata. Selamat hari jadi!.’

Tidak ketinggalan menyampaikan ucapan melalui rakaman itu beberapa menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen daripada PH termasuk Datuk Seri Mukhriz yang turut berharap ayahanda beliau terus memimpin negara.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *