Lelaki Tempatan Antara Ditahan Miliki Syabu 5.06 Gram

Antara suspek yang ditahan dalam beberapa siri operasi selama dua minggu. Gambar SNT/Ihsan Polis

TUARAN: Polis di sini menahan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun kerana memiliki bahan dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu di sebuah rumah di Kampung Simpang Bunga, Tamparuli, dalam satu siri operasi, pada 1 Julai.

Dadah yang ditemui adalah seberat 5.06 gram.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata siasatan awal mendapati syabu tersebut dipercayai untuk tujuan diedarkan kepada penagih dadah tempatan di sekitar Tamparuli.

Suspek juga didapati positif dadah jenis syabu dalam ujian urin yang dijalankan ketika operasi.

Kes disiasatan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952.

Mohd Hamizi berkata nilai rampasan keseluruhan adalah RM760 mengikut harga dadah semasa.

Dalam perkembangan lain, selama tempoh dua minggu sejak 24 Jun, operasi berterusan juga dijalankan oleh Polis Tuaran yang membawa kepada penahanan 26 individu lain.

Suspek yang ditahan berumur di antara 20 hingga 50 tahun itu disyaki penagih dadah jenis syabu di sekitar daerah tersebut.

Salah seorang daripada individu tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 25 individu lain disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi membanteras penyalahgunaan dadah itu dilancarkan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dadah sekali gus mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran yang wujud di kawasan terbabit.

Operasi berkenaan akan diteruskan sepanjang minggu di kampung-kampung dan taman-taman perumahan sekitar Tuaran dan lokasi serbuan akan berubah dari semasa ke semasa.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *