‘Anak Datuk Bandar Rupanya…’

Muhammad Rafdi – Foto Agensi

JAKARTA: Seorang pemuda yang hanya bekerja sebagai pekerja buruh binaan menjadi perhatian di media sosial Indonesia kerana lelaki itu sebenarnya adalah anak wakil wali kota di kepulauan Maluku.

Media Indonesia melaporkan, pemuda itu adalah anak lelaki kepada Muhammad Sinen iaitu wakil wali kota di bandar Tidore, wilayah Maluku Utara.

Wakil wali kota dipilih ketika pilihan raya Pemilihan Kepala Daerah (Ketua Daerah) untuk berkhidmat selama lima tahun. Tugas kepala daerah ialah mewakili wali kota (Datuk Bandar) di peringkat daerah.

Tribun News melaporkan, dia menjadi perhatian selepas beberapa gambarnya memaparkan gaya hidup sederhana, malah bekerja sebagai buruh binaan, tular di media sosial.

Gambar dirakam Muhammad Naoval itu dimuatnaik di akaun Facebook Khamis lalu, menunjukkan Muhammad Rafdi sedang bekerja dengan berpakaian lusuh berbanding mempamerkan kemewahannya.

“Dia ini anaknya Wakil Wali kota Tidore tapi dalam kehidupan kesehariannya sangat sederhana dan mandiri, malahan bekerja sebagai kuli bangunan!” tulis Naoval sebagai keterangan gambar terbabit.

Beberapa keping gambar memperlihatkan Rafdi berada di lokasi projek binaan dengan penampilan yang sangat sederhana, sesuai dengan pekerjaannya itu.

Mereka yang tidak mengenalinya pasti tidak akan menyangka dia anak kepada seorang datuk bandar.

Suar.id melaporkan, melalui akaun Instagram @smart.gram, Muhammad Sinen mengesahkan pemuda itu adalah anak ketiganya.

“Betul, itu anak saya yang ketiga,” katanya.

Menurut Muhammad Sinen, beliau menanamkan sifat rajin bekerja dan berusaha dalam hidup terhadap anak-anaknya, termasuk Rafdi.

Sinen berkata, beliau sering mengingatkan anak-anaknya bahawa pejabat adalah milik orang ramai.

“Pejabat itu milik orang ramai, yang jadi wakil wali kota itu ayah, bukan kalian (anak-anak). Kalian harus contoh ayah dulu, untuk berjaya dalam hidup, harus kerja keras,” kata Sinen.

Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *