Sabah Sedia Kerjasama Dengan Petronas Kenalpasti Telaga Baharu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa bersedia bekerjasama dengan Petronas bagi mengenalpasti tapak baharu telaga minyak di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan Petronas dalam menjalankan aktiviti mencari gali kerana kekayaan hasil itu bukan hanya diperolehi oleh Petronas tetapi juga memberi manfaat kepada negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang potensi menjalankan eksplorasi bagi mengenalpasti telaga baharu di Sabah.

“Aktiviti cari gali sebegitu memerlukan kos yang tinggi dan ia bukannya satu kerja yang mudah,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019, di sini pada Ahad.

Ditanya tentang kontraktor tempatan yang tidak diberi keutamaan dalam projek Petronas di Sabah, beliau berkata, dahulu memang ada ruang dibuka kepada kontraktor dari Sabah namun, keupayaan yang ada perlu dipertingkatkan.

Penerima PESP 2019 beramah mesra bersama Mohd Shafie (lima kanan) bersama Ahmad Nizam (empat kanan) semasa majlis berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie menyarankan ibu bapa supaya menghantar anak-anak dalam pelbagai bidang kepakaran dalam memastikan usaha melahirkan modal insan berkemahiran dapat diteruskan.

Katanya, sumber yang pelbagai di negeri ini tidak akan dapat dimanfaatkan jika tidak mempunyai tenaga pakar yang boleh membangunkan sumber yang ada sepenuhnya.

“Negara ini tidak boleh terlalu bergantung kepada satu-satu sektor sahaja, atas sebab itu, Kerajaan Negeri merangka perancangan untuk membangunkan aktiviti hiliran dalam pelbagai bidang termasuk minyak dan gas agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, dengan pengetahuan dan kepakaran yang ada ini, ia dilihat mampu membolehkan negara ini bersaing dengan negara pengeluar minyak lain.

Dalam majlis itu, seramai 150 orang pelajar menerima bantuan pendidikan dibawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) 2019.

Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, sejak PESP diperkenalkan pada 1975, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan kepada 36,800 pelajar di seluruh negara melalui program berkenaan.

Daripada senarai penerima tahun ini, 28 orang telah dipilih bagi menerima tajaan PESP dengan peruntukan bernilai RM5.8juta.

Manakala, 69 orang lagi menerima tajaan Program BUDI dalam membantu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan.

Turut menerima tajaan adalah 58 pelatih dari pelbagai institusi tajaan Petronas seperti Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional.

Seramai 20 pelatih Kimanis Petroleum Training Centre (KTC) pula menerima skrol graduasi setelah menamatkan program tiga tahun dalam Diploma Instrumentasi dan Kawalan Industri.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *