Kegiatan Bom Ikan Berleluasa Di Sabah – Penyelam

Sekadar Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah terkenal sebagai destinasi menyelam, namun aktiviti pengeboman ikan berleluasa sehingga dilihat menjadi ancaman besar kepada kelestarian alam dan kemapanan sektor pelancongan negeri ini.

Bagi ketua penyelam, Ivan Martin, dia sudah beberapa kali merasai sendiri kesan daripada pengeboman ikan ketika menyelam bersama rakan di perairan Mari-Mari Pulau Sepanggar, di sini.

“Telinga kami menjadi tidak selesa apabila berlaku letupan walaupun jaraknya jauh. Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesan nelayan terbabit (yang meletupkan bom) kerana ada banyak bot di sana,” katanya.

Pengajar menyelam, Emmanuele Girellie, berkata bunyi letupan bom ikan adalah perkara biasa ketika menyelam di Taman Tunku Abdul Rahman, di sini.

“Mana-mana penyelam profesional di taman marin itu dapat merasainya (letupan) kerana bunyinya bergerak pantas dalam air. Ia bunyi kuat secara tiba-tiba yang menakutkan sesiapa saja, malah pengajar menyelam.

“Kalau dekat, kami kadang-kala fikir satu daripada O-ring kami yang meletup sehingga beberapa saat kemudian baru kami sedar ia adalah bom ikan,” katanya yang mengakui sudah beberapa kali ternampak ikan mati akibat terkena bom di dasar laut.

Di Kota Belud, penyelam Suraidah Roslan, berkata dia sangat terkejut ketika kali pertama kali mendengar bunyi letupan bom ikan di laut.

“Setiap kali akan ada dua atau tiga letupan. Jika ia berlaku dekat lokasi selaman, saya sangat takut kerana gegendang telinga kita boleh pecah,” katanya.

Pengendali selaman di Kudat, Charles Mawan, berkata pengeboman ikan sering berlaku pada tahun lalu dengan tiga atau empat letupan kedengaran setiap kali dia dan pasukannya menyelam.

“Mereka menjatuhkan bom kira-kira empat atau lima kilometer dari kawasan menyelam tetapi gelombang letupan menyebabkan jantung kita rasa bergegar.

“Apabila kami naik ke permukaan, mereka (pengebom ikan) sudah tidak kelihatan berhampiran kita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kejadian letupan bom ikan berkurangan selepas pihaknya membuat laporan mengenai kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

Di Semporna, kegiatan bom ikan juga adalah perkara biasa sehingga dalam insiden terbaru kelmarin menyebabkan seorang pengajar menyelam dan dua pelancong China maut.

Jurugambar bawah air, Joe Starzz, berkata aktiviti pengeboman ikan juga sering berlaku di perairan Pulau Kapalai, Mabul dan Sipadan.

“Apabila ia berlaku, kami hanya meneruskan selaman dan menjelaskannya kepada penyelam lain selepas selesai,” katanya.

Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat, Sabah, Asisten Komisioner Mohd Pajeri Ali, berkata antara Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya melakukan 30 tangkapan dan merampas barangan bernilai RM100,113 berkaitan pengeboman ikan di negeri ini.

“Di Semporna, sebanyak 43 kes di bawah Akta Perikanan 1985 (Penggunaan Bom Ikan) dan Akta Letupan 1957 direkodkan pada 2019 setakat ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *