Azis Jamman Nafi Beri Kelulusan Proses Pemilikan Sebidang Lot Tanah Di Kampung Likas

Datuk Azis Jamman

KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman menafikan dakwaan beliau memberi kelulusan bagi pemilikan sebidang lot tanah di daerah ini.

Menurut beliau penularan sepucuk surat yang mempunyai minit tandatangannya mendakwa kelulusan diberikan bagi pemilikan sebidang lot tanah adalah tidak benar sama sekali.

“Tuduhan mengatakan saya terlibat dalam proses kelulusan urusan lot tanah tersebut juga berniat jahat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata minit tandatangan tersebut hanya bertujuan untuk dipanjangkan dan dikaji sekiranya permohonan tersebut memenuhi syarat dan prosedur mengikut tatacara Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Katanya ia tidak bermakna dia memberi tekanan atau mendesak supaya satu kelulusan diberikan seperti yang disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

“Seperti Ahli Parlimen yang lain, saya banyak dikunjungi oleh orang ramai yang terdiri daripada pengundi mahupun rakyat biasa meminta minit tandatangan saya untuk tujuan sumbangan, bantuan kebajikan dan bermacam lagi perkara, malahan ada juga meminta untuk membantu kemasukan anak ke pengajian tinggi. 

“Setiap permohonan semestinya perlu dikaji dan ditapis dengan teliti terlebih dahulu, sebagai seorang wakil rakyat juga menjadi tanggungjawab saya melayan setiap permohonan dan memerlukan untuk saya memberikan minit tandatangan sekiranya terdapat keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, Azis berkata beliau juga mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Tanah dan Ukur untuk meminta mereka segera menyiasat tindakan pencerobohan tanah tersebut yang menggunakan surat minit tandatangannya.

“Dakwaan sesetengah pihak kononnya saya terlibat dalam urusan memberikan kelulusan pemilikan lot tanah tersebut adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Menurutnya beliau difahamkan tindakan untuk menghentikan kerja-kerja pencerobohan di lot tanah tersebut telah pun diambil.

Tanah tersebut terletak di Kampung Likas dan individu yang melakukan pencerobohan itu mendakwa telah mengemukakan permohonan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Ketua Menteri serta DBKK untuk membangunkan tanah itu.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *