Tandatangan Bukan Bermaksud Diluluskan – Azis Jamman

Isu ‘pencerobohan’ tanah di Kampung Likas melalui video yang tular sejak semalam, Ahli Parlimen Sepanggar, Dato’ Aziz Jamman hari ni memberikan beberapa komen berkaitan dengan isu tersebut:

1. Saya ingin menegaskan bahawa penularan sepucuk surat yang mempunyai tandatangan saya mendakwa kelulusan diberikan bagi pemilikan sebidang tanah di Teluk Likas adalah tidak benar sama sekali dan tuduhan mengatakan saya terlibat dalam proses kelulusan tersebut juga berniat jahat.

2. Ingin saya jelaskan di sini, tandatangan tersebut hanya bertujuan untuk dipanjangkan dan dikaji sekiranya permohonan itu memenuhi syarat dan prosedur mengikut tatacara Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), bukan bermakna saya memberi tekanan atau mendesak supaya satu kelulusan diberikan seperti yang disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

3. Seperti Ahli Parlimen yang lain, saya banyak dikunjungi oleh orang ramai yang terdiri daripada pengundi mahu pun rakyat biasa meminta tandatangan saya untuk tujuan sumbangan, bantuan kebajikan dan bermacam lagi perkara, malah ada juga meminta untuk membantu kemasukkan anak ke institusi pengajian tinggi.

4. Setiap permohonan semestinya perlu dikaji dan ditapis dengan teliti terlebih dahulu dan sebagai seorang wakil rakyat juga menjadi tanggungjawab saya melayan setiap permohonan dan memerlukan untuk saya memberikan tandatangan sekiranya perlu.

5. Dalam pada itu, saya juga mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan JTU meminta mereka segera menyiasat tindakan pencerobohan tanah tersebut yang menggunakan surat berserta tandatangan saya. Oleh itu, dakwaan sesetengah pihak kononnya saya terlibat dalam urusan memberikan kelulusan pemilikan lot tanah tersebut adalah tidak benar sama sekali.

6. Saya juga difahamkan tindakan untuk menghentikan kerja-kerja pencerobohan di lot tanah tersebut telah pun diambil dan saya mengucapkan syabas atas tindakan segera diambil pihak berkuasa.

7. Sekali lagi, ingin saya tegaskan di sini, tandatangan saya bukan bermakna memberikan kelulusan sebaliknya setiap permohonan perlu memenuhi syarat serta prosedur sebelum kelulusan diberikan.

8. Mana-mana individu tidak salah untuk membuat sebarang permohonan selagi tidak menyalahi peraturan dan undang-undang, namun menceroboh sesuatu tanah milik persendirian atau milik kerajaan adalah menjadi satu kesalahan terutama jika permohonan itu masih belum diluluskan.

* Datuk Mohd.Azis Jamman ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ketua Wira Warisan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *