Harga RON97 Naik 4 Sen, RON95 & Diesel Masih Kekal

Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak empat sen kepada RM2.53 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, harga runcit produk petrol dan diesel adalah bagi tempoh 6 hingga 12 Julai ini.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya ialah masing-masing RM2.23 dan RM2.32 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh itu adalah berjumlah RM99.53 juta. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *