7 Saksi Kes Bunuh Diminta Hadir Ke Mahkamah Sandakan

BELURAN: Polis meminta tujuh saksi kes bunuh yang berlaku dua tahun lalu di Ladang Masih Jaya Sugut, di sini, untuk hadir ke mahkamah pada 8 hingga 12 Julai ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata kejadian dilaporkan berlaku di Blok 10, Rumah Kongsi Pekerja ladang itu kira-kira jam 2 petang 30 Januari 2017 membabitkan seorang mangsa lelaki berusia 36 tahun.

“Kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sandakan dan akan disebut semula pada 8 hingga 12 Julai 2019.

“Tujuh saksi dikehendaki untuk hadir ke Mahkamah Tinggi Sandakan bagi membantu siasatan, termasuk tiga wanita dikenali sebagai Habsah Usman, Hasnah Abdul Rahim dan Nur Diana Senom Matinggih,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, empat lagi saksi adalah lelaki dikenali sebagai Rusli Mahadin, Ashar Ambotuo, Sabri Jakkun dan Sakarias Dominikus Samuel.

Katanya, semua saksi terbabit adalah warga Indonesia yang pernah bekerja di ladang berkenaan.

“Alamat terakhir tiga wanita dan empat lelaki itu ialah di Rumah Pekerja Ladang Masih Jaya Sugut, Beluran.

“Justeru, orang ramai yang ada maklumat berhubung semua individu itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Hardymas Sawali melalui talian 019-2649981 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran 089-511222,” katanya.

Kasim berkata, kes berkenaan dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *