Tiada Kebenaran Pencerobohan Tanah Di Kampung Likas – Azhar Matussin

Salah sebuah rumah yang dibina atas tanah yang didakwa diceroboh oleh beberapa orang.

KOTA KINABALU: Kerajaan tidak pernah sesekali memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menceroboh sebidang tanah di Kampung Likas seperti yang didakwa seorang lelaki melalui video yang tular sejak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Matussin berkata, kenyataan seorang lelaki dikenali sebagai Arshad Ghani yang mendakwa mendapat kebenaran berkenaan adalah tidak berasas sekali.

AZHAR MATUSSIN

Kata Azhar, beliau juga telah mendapat pengesahan daripada Istana Negeri bahawa tiada apa-apa kebenaran pernah dikeluarkan oleh Yang Dipertua Sabah seperti disebut.

“Dasar kerajaan sekarang adalah untuk menyediakan tempat tinggal baik untuk rakyat dan membanteras penempatan setinggan daripada bertambah jadi kalau itu dasar kita kenapa mahu bagi kebenaran.

“Tanah itu juga bukan milik kerajaan jadi amatlah tidak berasas jika kerajaan berikan status tanah kepada orang lain,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Semalam, tular sebuah video berdurasi 47 saat menunjukkan seorang lelaki iaitu Arshad sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Kawasan yang telah dibersihkan oleh sekumpulan orang.

Ketika ditanya oleh individu yang membuat rakaman, Arshad mendakwa dia telah mengemukakan permohonan kepada Yang Dipertua Sabah, Ketua Menteri serta DBKK untuk membangunkan tanah itu.

Sedutan video lelaki yang mendakwa sudah dapat permohonan tanah berkenaan

Salinan surat itu turut ditularkan di laman sosial tentang permohonan tanah berkenaan, namun tiada sebarang kelulusan diberi menyebabkan timbul kemarahan orang ramai terhadap perbuatan Arshad.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *