RM3 Juta Peruntukan MPKK Telah Disalurkan Ke Sabah

Rina menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta. – Gambar Facebook Ewin Benedick

RM25.7 juta peruntukan MPKK disalurkan ke setiap negeri di seluruh negara

KOTA KINABALU, 4 Julai – Sejumlah RM25.78 juta peruntukan Geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah disalurkan ke setiap negeri di seluruh negara bagi Fasa 1 dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah itu sebanyak RM3 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan RM130,000 di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Rina bersama Dr Yusof Yacob dan Ewon

Beliau berkata setakat ini kementerian menerima sebanyak 2,242 permohonan Geran MPKK dari seluruh negara termasuk Sabah dan WP Labuan.

“Di Sabah kita baru menerima tiga permohonan dan berharap akan menerima lebih banyak permohonan di bawah Geran MPKK terutamanya selepas selesai mengikuti kursus induksi ini,” katanya kepada pemberita selepas kursus induksi MPKK Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick dan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Rina berkata dengan selesainya kursus induksi itu, lebih 11,000 ahli MPKK telah berjaya mendapat latihan dalam usaha mencapai visi dan misi kerajaan.

Beliau berkata di Sabah kursus induksi itu akan dilaksanakan sebanyak tiga siri bagi membolehkan kesemua MPKK di setiap kampung di negeri ini mendapat pendedahan mengenai pengurusan kampung.

Katanya, ahli MPKK yang terlibat induksi siri pertama itu termasuk dari Daerah Kota Belud, Beaufort, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Putatan, Membakut dan WP Labuan.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata hampir kesemua daripada 101 projek di bawah program Jalan Perhubungan Desa di Sabah telah siap bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Selain itu, sebanyak 64 program di bawah ameniti sosial juga turut dilaksanakan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM30 juta.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *