Polis Sandakan Rampas 5,401 Kotak Minuman Keras Dari China Bernilai RM2.7 Juta

Omar (tengah) mendengar taklimat dari Mohd Azmar berhubung kotak arak yang dirampas selepas sidang media di IPD Sandakan hari ini. – Foto Bernama

SANDAKAN, 4 Julai – Polis Sandakan berjaya merampas 5,401 kotak minuman keras dipercayai diseludup dari China, termasuk kenderaan, bernilai RM2.7 juta disyaki untuk pasaran tempatan,  Sabtu lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah hari ini.

Omar (kiri) mendengar taklimat dari Mohd Azmar berhubung kotak arak yang dirampas selepas sidang media di IPD Sandakan hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu atas maklumat awam mengatakan sekumpulan lelaki sedang memunggah minuman keras dari sebuah kapal, yang berlabuh di tepi Sungai Seguntor dekat sini, ke tiga lori dan dua kenderaan pacuan empat roda kira-kira 11.30 malam.

“Semasa serbuan yang diketuai Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin bersama empat pegawai dan sembilan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah, polis menahan 19 lelaki iaitu 13 tempatan dan enam warga asing berumur lingkungan 21 ke 60 tahun.

“Suspek ditahan ketika memunggah minuman keras jenama ‘Sea Pearl’ dan ‘Tiger’ dari sebuah kapal besi bernama ‘MV Lee Ung’,” katanya kepada pemberita pada lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini.

Omar berkata siasatan awal mendapati minuman keras itu sepatutnya dihantar ke Tawi-Tawi di selatan Filipina, namun kapal terbabit berpatah balik ke Sabah.

Menurutnya, soal siasat ke atas suspek mendapati kumpulan itu memutuskan untuk mengedar minuman keras itu ke pasaran tempatan bagi mengelak dikenakan cukai import.

Beliau berkata perintah reman selama tujuh hari diperoleh ke atas semua suspek untuk disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *