Lebih 60 Hektar Tanah Rizab 6 Kampung Di Tuaran Musnah Diceroboh

Ancam Keselamatan: Kesan kerosakan dialami lebih 60 hektar tanah rizab untuk enam perkampungan yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan berbukit berhampiran Kampung Ulu Bakut dan Bukit Giling semalam. – Foto Bernama

Lebih 60 hektar tanah rizab untuk enam perkampungan di daerah ini musnah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab, yang mengambil tanah kawasan berkenaan untuk menimbus tapak perkuburan berhampiran sejak dua tahun lepas.

Tanah rizab di kawasan berbukit berhampiran Kampung Ulu Bakut dan Bukit Giling itu adalah untuk penduduk Bukit Giling, Kauluan, Tambulaong, Tambalugu, Bakut dan Dansangai.

Ketua Kampung Bukit Giling, Siani Lipat, 58, berkata pencerobohan tanah rizab itu menyebabkan kehilangan sebahagian besar kawasan bukit selepas dikaut keluar untuk membina tanah perkuburan milik sebuah syarikat swasta tidak jauh dari situ.

“Pencerobohan tanah rizab itu berlaku sudah hampir dua tahun dan sehingga kini perbuatan tidak bertanggungjawab itu masih berlanjutan, menyebabkan saiz kawasan diceroboh semakin luas.

“Justeru, usaha penduduk Bukit Giling dan Kauluan menghalang percerobohan itu tidak berhasil, apabila pihak yang melakukan perbuatan itu masih meneruskan kegiatan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.

Enam perkampungan berkenaan berada dalam kawasan Parlimen Tuaran diwakili Datuk Wilfred Madius Tangau dan Dewan Undangan Negeri Kiulu diwakili Datuk Joniston Bangkuai.

Difahamkan, kegiatan itu turut menyebabkan berlakunya hakisan tanah serius serta merosakkan sistem tadahan air graviti perkampungan berhampiran.

Siani berkata, tanah rizab itu tidak sewajarnya diceroboh dan dirosakkan mana-mana pihak sama ada untuk pembangunan, pertanian atau dijadikan tapak perkuburan swasta.

“Perkara itu sudah dipanjangkan kepada pengetahuan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah Tuaran untuk tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, agensi kerajaan berkenaan gagal menghalang pencerobohan tanah rizab itu, menyebabkan pihak terbabit yang melakukan perbuatan itu masih meneruskan kegiatan.

“Ia turut menimbulkan tanda tanya kepada penduduk, bagaimana kegiatan berkenaan tidak boleh dihentikan sedang kesan kerosakan ke atas tanah rizab itu jelas kelihatan,” katanya.

Siani berharap ada tindakan segera diambil kerajaan bagi menghentikan pencerobohan itu dalam menyelamatkan tanah rizab dan alam sekitar daripada musnah. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *