Juarai Liga Semakin Cerah Jika Sabah Kejutkan JDT II Malam Esok

 Jelius Ating

Sabah tekad buat kejutan di Pasir Gudang

Walaupun mengakui ia satu tugas sukar, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap yakin anak buahnya mampu mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam pertembungan pasukan teratas Liga Perdana itu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam esok. 

Katanya, beliau memiliki perancangan tersendiri untuk mengejutkan JDT II namun sasaran itu hanya akan menjadi kenyataan jika anak didiknya mempamerkan aksi terbaik dan mengikut strategi yang dirancang. 

“Tiada yang mustahil dalam bola sepak, jika mereka (JDT II) mampu tewaskan kita di Likas pada awal musim ini, kenapa pula kita tidak mampu mengejutkan mereka di Pasir Gudang. 

“Kami sudah melihat rakaman perlawanan membabitkan JDT II untuk kenal pasti kekuatan serta kelemahan mereka dan kami ada perancangan sendiri untuk hadapi mereka. 

“Ini (bertemu JDT II) satu aksi penting sebelum kita bertandang pula ke Shah Alam untuk bertemu UiTM FC minggu depan dan sekiranya kami dapat mencatat keputusan baik dalam dua perlawanan ini, peluang untuk jadi juara semakin cerah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Jelius berkata, kehadiran semula kapten Tambadau, Rawilson Batuil, yang baru selesai menjalani penggantungan perlawanan bakal memperkuatkan lagi pasukan itu khususnya di bahagian pertahanan. 

“Tidak banyak perubahan terhadap kesebelasan utama, hanya Rawilson saja yang akan kembali beraksi menggantikan Maffry (Balang) dan Azzizan (Nordin) juga mungkin akan direhatkan.

“Bagaimanapun, Maffry tetap tersenarai sebagai pemain simpanan kerana kita masih perlukan dia sekiranya berlaku sesuatu seperti kecederaan, dia pemain serba boleh yang bukan saja boleh bermain di bahagian pertahanan tetapi juga di posisi tengah.

“Kita juga sekali lagi akan merehatkan Azzizan yang baru pulih dari kecederaan kerana kita mahu dia cergas sepenuhnya untuk aksi akan datang,” katanya. 

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson, Park Taesu, Evan Wensley Wenceslaus dan Randy Baruh Samson.

Sementara itu, Ahmet Atayev dan Ricco Nigel Milus akan mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Alto Linus di sebelah kanan dan Jenius Karib di sayap kiri. 

Dua penyerang import, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes Veiga pula dijangka terus menggalas tugas sebagai pemburu jaringan buat Tambadau.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *